PRAWACANA KEPADA PENGARANG DI PERKAMPUNGAN SARAWAK

PRAWACANA KEPADA PENGARANG DI PERKAMPUNGAN SARAWAK
Sedikit kata-kata aluan kepada rakan pengarang dalam acara Perkampungan Pengarang Sarawak 2009 bersama Pegawai Projek dari DBP Sarawak, Encik Rashid Subet dan Setiausaha II PUTERA.

SARAWAK TIADA IKON SASTERA DALAM 5 TAHUN MENDATANG?

SARAWAK TIADA IKON SASTERA DALAM 5 TAHUN MENDATANG?
Ada kesungguhan bukan retorik semata-mata

Monday, December 28, 2009

PERTEMUAN SASTERAWAN NUSANTARA KE XV DI BRUNEI MULAI 11-13 DISEMBER 2009

MENCARUKKAN SASTERA NUSANTARA- TEMA PSN KE XV DI BRUNEI
Oleh
Poul Nanggang

Sememangnya kalau mengikuti acara rasmi dalam sastera ini adalah kali ke-3 saya ke Brunei. Pertama dalam Kembara Sasatera anjuran DBP Malaysia pada 2004 bersama mantan Pengarah DBP, Yang Berbahagia Dato Aziz Deraman. Kedua 2007, sewaktu menjadi pemakalah dalam Pertemuan Pengarang Borneo kalimantan dan kali ini Persetemuan Sasterawan Nusantara Ke XV. Terasa dekat tapi jauh tentang Brunei itu sendiri yang menjadi jiran kepada suasana politik dan pemerintahan.
Hakikatnya sejarah awal pembentukan roh sastera saya bermula dengan suasana di Brunei, dengan ruang cerita kanak-kanaknya, drama bersirinya dan macm-macam lagi yang menyangkut soal bahasa. Memang kami dekat sahaja, tetapi jauh oleh kerana pelbagai faktor termasuk politik, ekonomi dan segala macam yang membatasi kedekatan jarak kami menjadi jauh. Hakikatnya saya tidak merancang ke sini bagi acara inim kerana memberi laluan kepada rakan lain yang kebetulan ASTRAWANI menempakan 5 penyertaan rasmi dari organisasi PUTERA.Lantaran teman-teman lain berhalangan, maka saya gagahi jua ke sini walaupun cukup berat dengan Pertemuan Penyair Nusantara Ke III di KL pada pertengahan November 2009 kemudian Perkampungan Pengarang Sarawak 2009 seminggu sebelum ini di Kota Miri. Hujung tahun penuh dengan acara sastera yang menjadi sebahagian keutamaan darah daging kehidupan saya setakat ini.
Sekali lagi saya memasuki Balai Samayuda DBP Brunei, sebagai ruang pertemuan di Brunei kali ini. Suasana adaah sama, maklumlah acara yang dianggap peringkat antarabangsa, bukan calang-calang orang yang datang dalam majlis sebgini. Kalau ikut perbincangan pun kita harus hati-hati dan melihat wajah sastera kita, biarpun tidak rasa kecil, tetapi kewaspadaan itu tetap ada. Sebagai manusia biasa.
Saya bukanlah melaporkan tentang PSN. Tetapi kesan dan impaks penyertaan saya dalam PSN kali ini. Pertama dari aspek pembentangan kertas kerja, memang hebat dan cukup tinggi idea dan gagasannnya. Kedua penyertaan perbincangan agak baik,walaupun banyak lontaran lebih kepada Brunei itu sendiri selaku penyelenggara acara. Sokongan daripada Yayasan Sultan Hasanal Bolkiah kepada acara ini amat bermakna dengan Putera Abd Malik, anakanda Sultan Brunei yang hadir mencemar duli bagi merasmikan acara budaya dan bahasa antarabangsa. Jarang kita lihat di lain-lain wilayah di Nusantara pemerintah ikut sama merasa nikmat gegaran sastera dan bahasa itu. Itulah uniknya Brunei Darussalam yang saya singgah bersama teman karyawan lain.
Pertemuan ini juga say sempat menunaikan janji kepada sahabat penulis di Brunei, Saudara Chong Ah Fook juga kalau dikira keluargaan sebenarnya adalah bapa saudara saya sendiri. Saya, Zaini(sepupu saya dari Limbang), Viddy A Dairy(Indnesia) dan Nik Rakibb(Selatan Thai) diundang ke rumah beliau di Tutong dalam rencana baca puis di Long Mayan. Tentunya kami ke sini dengan izin pelepasan daripada Urus Setia PSN. Ini betul-betul perjalanan sastera yang memghiburkan dengan perbincangan pelbagai isu dan pandangan antara saya, Viddy, Nik Rakkib, Ah Fook sendiri dan sekali-sekala Zaini juga turut serta. Kebetulan mobil saya dipandu oleh Zaini yang tahu serba sedikit suasana di sini. Saya cukup teruja menyampaikan lagu puisi tanpa irama di Long Mayan kemudian beberapa nota ringkas dalam acara penutup. Itu suatu ungkapan jiwa penyair yang luhur, bukan dibuat-buat. Saya teruja dalam suasana kesedehanaan begini, mampu sastera dihidupkan kembali di sini khasnya di kalngan generasi muda yang ada. Nostalgia ini tetap megugah jiwa sepanjang hayat saya dalam berkarya dan bergelut di mayapada sastera bangsa.
Sebelum malam ke dua pertemuan, saya dan teman-teman juga dijemput dan diraikan di kediaman Baharuddin HO di Sungai Besar, Brunei dalam suasana santai dan mesra. Walaupun beliau seorang tokoh pemerintah dan orang penting dalam kerajaan, tetapi jiwa seninya masih jujur dan segar, apa tah lagi isteri beliau yang cukup peramah dan mesra masih menjiwai sastera. Malam itu banyak kenangan mulai tiba, dari lagu-lagu rakyat Brunei hinggalah puisi berirama Timur Tengah dialunkan untuk dinikmati aroma jiwa seni. Malam yang amat bersejarah itu juga, sempat melihat dan mendengar Prof Dato Zainal Kling(AJK GAPENA) melagukan syair yang cukup istimewa dan tidak pernah didengar di mana-mana dan teman-teman lain dari Nusantara. Penyair Brunei Yahya MS(Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haj Awang Yahya Bin haji Ibrahim, Ketua Hakim Makhamah Syarie, Negara Brunei Darussalam) juga dengan lagu-lagu rakyat Brunei yang memugar minda dan ingatan zaman silam dalam melafazkan penuh lancar, bahawa jiwa tetap sebati dengan sastera bangsa yang murni ini.Saya juga terkesan SN Dato Anwar Ridwan(Malaysia) yang pendiam itu juga membacakan pantun-pantun yang segar bugar dalam fikiran. Tapi saya cukup teruja dengan keupayaan material, status, nama besar,yang dimiliki Baharuddin HO, kecintaannya kepada puisi, sastera, bahasa, dan budaya Melayu masih kuat berakar dalam rohnya biarpun menjadi manusia hebat. Inilah yang kita banggakan tentang kemanusiaan itu yang ditunjukkan oleh beliau. Rasanya penghormatan dan pujian saya tidak lengkap, kalau saya tidak menyatakan rasa terima kasih dan belajar banyak daripada penampilan beliau yang cukup sederhana tetapi amat menyerlah. Itulah tanggapan saya kepada Baharuddin HO tanpa banyak menyinggung soal pangkat dan darjat dalam pemerintahan negara, saya hanya melihat kemanusiaan kepenyairan manusia yang bernama Baharuddin HO(Yang Berhormat Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin Bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam) itu "per se".
Dalam perjalanan pergi dan balik ke Miri dan Bandar Seri Begawan, saya tidak keseorangan, saya ditemani oelh Hj Hamzah Hamdani, Bendahari GAPENA yang kebetulan orang banyak mengetahui tentang PSN itu sendiri. Jadi banyak percakapan kami berkisar tentang sastera Nusantara, Malaysia yang akan datang dan GAPENA itu sendiri. Mungkinitu adalah rahsia kami dalam membicarakan dari hati ke hati tanpa banyak telinga yang terbuka. Jenis manusia saya bukanlah, jenis yang suka angkat orang, walaupun kadang-kadang ada juga pada pandangan orang. Saya tidak begitu rapat dengan Haji Hamzah sewaktu menjadi Pengarah DBP Sarawak atau Sabah. Tetapi saya menghormatinya kerana memahami jiwa pengarang di sini. Lalu kami menjadi mesra dan akrab lantaran bidang mpenulisan itu merapatkan kami. Selain itu dapat bertemu dengan Prof Shahlan Md Saman yang peramah, pemurah dan baik hati kepada saya dan teman-teman dalam PUTERA, Prof Arbak Othman yang pernah mengajar saya dan mencecapi ilmu sastera di minda, Djamal Tukimin yang sempat menghadiah buku tulisannnya kepada saya, teman karyawan Brunei khasnya, Prof Madya Ampuan Hj Dr Ibrahim Ampuan Hj Tengah(Ketua I ASTRAWANI), Zeefri Arief, Hj suip Hj Abd Wahab, Kamis Hj Tuah, yang banyak membantu. Kemudian persahabatan saya Hajranshah dari Banjarmasin juga kian menebal. saya suka anak muda ini yang pendiam tetapi hebat mulai berbicara, pernah sekolah seni di Jogjarkata kalau tidak silap saya. Putera Zulfaisal yang cepat memmahami saya kerana pernah keteu di sini pada 2009 yang lalu. Teman-teman dari Limbang, Labuan,dan wilayah lain yang mengenali saya.
Semua itu telah berlalu, tetapi impaks dalam diri dan nostalgia kenangan cukup indah dinikmati. mampukan lagi,saya menikmati suasana begitu untuk sebuah kehipan seni dan bersastera. hanya jawapan pada ada pada kita. Brunei yang nampak dekat sebenarnya terlalu jauh untuk didekati tetap membawa imbauan kenangan tersendiri. Salam Nusantara.

Monday, December 7, 2009

PERKAMPUNGAN PENGARANG SARAWAK 2009

PERKAMPUNGAN PENGARANG SARAWAK 2009: 5 TAHUN MENDATANG, TIADA APA YANG DIBANGGAKAN DENGAN KARYA PENGARANGAN SARAWAK MASIH KABUR & BERJEREBU.
Oleh
Poul Nanggang
Pada 05-06 Disember 2009 mencatakan sejarah sekali lagi di Bumi Kenyalang, apabila PUTERA dan DBP telah berjaya menyempurnakan acara gah yang sering dijadikan acara tahunan sastera di Sarawak iaitu Perkampungan Pengarang Sarawak 2009. Sekitar 100 orang karyawan dari pelbagai ceruk wilayah Sarawak mengikuti program ini. Selain itu terdapat teman-teman dari Brunei, Sabah dan Semenanjung Malaysia ikut serta dalam merancakkan suasana kepengarangan di Sarawak . Tema perkampungan kali ini dipilih oleh panitia ialah “Memanifestasikan Kesatuan dalam kepelbagaian lewat persuratan kebangsaan”.
Dalam ucapan alu-aluan Pengarah DBP Sarawak, Encik Jiso Rutan mengharapkan perkampungan ini akan membawa kesan dan impak kepada kepengarangan karyawan bumi kenyalang ini. Usaha memasyarakat sastera terus kita kembangkan kerana kewujudan DBP itu sendiri adalah atas aspirasi dan cita-cita masyarakat untuk mengangkat, mendaulat bahasa dan sastera kebangsaan kita. Terdapat 9 kertas kerja yang menjadi inti perbincangan dalam perkampungan ini. Salah satunya menjadi bahan ucaptama dalam acara ini yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, Ahli Lembaga DBP dan juga Sasterawan Negeri Sarawak dengan judulnya, “Masa Depan Kesusasteraan Di Sarawak”. Dalam ucap tama ini terdapat pelbagai kemungkinan dan cabaran yang akan dihadapi oleh para pengarang Bumi Kenyalang ini. Beliau nampak optimis bahawa ada peluang dan ruang dalam suasana berkarya di Sarawak sekarang biarpun banyak halangan dan kekangan yang menjadi ranjau di hadapan.
Kertas kerja pertama yang dibentangkan oleh Drs. Mohammad Daud Mohammad, Ketua Bahagian Teori & Kritikan Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur pula menyampaikan kertas kerja bertajuk, “Persepktif Bangsa Dalam Lanskap Sastera”. Beliau menyatakan dalam kertasnya bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan peranan manusia untuk mendaulatkan posisi diri sebagai manusia genius untuk menulis hal-hal yang menjadi sejarah dan catatan penting bangsa. Selain menonjolkan aspek estetika, soal warna-warni budaya dan segala persoalan manusia juga terangkum. Kemudian diikuti oleh Dr Nur Afifah Vanitha Abdullah dengan tajuk “Pengaruh Kontekstual Terhadap Kelahiran Teks dan Kaedah Lakonan Bangsawan Tahun 1980-an di Sarawak”. Kertas ini memberikan fokus utama bangsawan yang masih menjadi tradisi di Sarawak dalam suasana ICT kini. Lalu kertas ketiga disampaikan oleh Hj Santrol Abdullah dengan tajuknya, “Penerapan Unsur-Unsur BudayaTempatan Dalam Karya Sastera”. Hal ini cukup menarik kerana kita selalu membicangkan disiplin “studi budaya” sebagai salah satu kaedah mengkaji persoalan masa kini dalam pelbagai kajian. Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya tentunya merupakan lubuk yang luas dan dalam yang kaya dengan nilai budaya manusianya yang ada. Hal ini dimanfaatkan dalam suasana berkarya supaya hal semacam ini menjadi “nilai tambah” yang meluaskan sudut-sudut kajian dalam masyarakat dan sastera bangsa. Ketiga-tiga kertas kerja digabungkan dalam sesi pembentangan pertama dan dipengerusikan oleh Saudara Abang Median Abang Said dari PUTERA(Persauan Penulis Utara Sarawak).
Pada sebelah petang acara diteruskan dengan sesi pembentangan kedua yang menyediakan 2 buah kertas kerja yang cukup menarik.Dipengerusikan oleh Saudara Abang Patdeli Abang Muhi, Timbalan Pengarah DBP Sarawak merangkap Pengarah Perkampungan Pengarang Sarawak 2009. Pertama, “Memperkasa Keberhasilan Karya Sastera: Pengalaman Meneliti Karya Penulis Sarawak” oleh Prof Dr. Shahlan Mohd Saman, dari UBD. Tulisan ini cukup berterus terang dan berani. Antara lain kenyataan yang disampaikan dalam kertas ini ialah “ketiadaan dan kekaburan bahawa dalam tempoh 5 tahun mendatang, tiada nampak karya atau pengarang Sarawak yang dianggap berjaya berbanding dengan pencapaian pengarang dari Negeri Sabah Di Bawah Bayu” di pelbagai peringkat yang ada. Memang pedih dan sedih untuk diterima. Tetapi adalah lebih kita teriam hakikat yang pahit daripada dihiasi dengan kata-kata manis yang membawa trajedis kepada sastera kebangsan di bumi kenyalang yang terbilang dan penuh historis ini. Kenyataan ada pro dan kontranya tersendiri, tetapi cetusan itu bukanlah dengan niat berbau penghinaan atau memandang rendah kepengarangan karyawan di Bumi Kenyalang, itu harus ditanggapi dan dilihat dengan mata hati yang jujur, ikhlas dan dan telus kalaupun kita berpolemik tentang hal itu. Ini bukan dinilai pencapaian dalam pelbagai anugerah dan sayembara penulisan sastera di Malaysia. Para pengarang Sarawak banyak tercicir daripada teman-teman dari Sabah apa lagi Tanah Semenanjung. Berapakah sahaja penerima “Anugerah Sastera Perdana Malaysia” sejak 1971 hingga kini dari Sarawak? Sabah mengatasi kita dari aspek bilangan.Pencapaian dinilai dari aspek angka-angka, orang suka melihat ini. Lain-lain anugerah sastera seperti Anugerah Sastera Utusan Melayu, GAPENA, MASTERA atau lainnya. Penerima SEA WriterAward dari Thailand itu Sabah dan Sarawak hanya berbangg seorang sahaja dari negri masing-masing berbanding Selangor yang ada 9 orang penerima SEA Writer Award dan seorang Sasterawan Negara. Itulah mungkin ukur tara dan aspek teknikal penilaian yang patut kita terima hakikat dan kenyataannya. Kita jangan mudah macam cacing kepanasan, mungkin ada hikmatnya dari semua ini. Tetapi kita tidak boleh diam, usahakan anjakan saujana dalam melibatkan program penulisan di Sarawak supaya tidak ketinggalan dari orang lain kalau dibuat perbandingan. Inilah kenyataan yang cukup berat diterima oleh para penulis di Sarawak. Sama ada kenyataan itu disampaikan secara provaksi atau sebaliknya, Prof Sahlan Mohd Saman yang terkenal dengan kewibawaan sebagai tokoh mengkaji sastera bandingan mempunyai penilaian yang tersendiri sehingga muncul dengan kalimat ini. Hakikatnya para penulis di Sarawak menerima kenyataan ini dalam suasana pukulan hebat mengetuk bukan sahaja kepala tetapi seluruh nyawa dan roh penulsi itu sendiri. Mungkin pengarang atau karyawan Sarawak sehingga 2016 perlu menunjukkan suatu pencapaian yang lebih membanggakan setelah mengalami zaman yang cukup trajedis dalam sastera kebangsaan di Bumi Kenyalang. Suka atau tidak suka hal ini harus kita terima dengan dada terbuka dan hati yang redha. Itu adalah tanggungjawab karyawan Sarawak untuk menanggapi apa yang dihujahkan oelh Prof Shahlan Mohd Saman dalam kertas kerja itu. Kemudian diikuti oleh Dr Jeniri Amir dengan tajuk kertas kerjanya, “Strategi Pemasaran Karya Sastera” yang mana membicarakan dengan pajang lebar dan jelas agar penulis melihat kembali arah tuju kepenulisannya. Saranan Dr Jeniri Amir lebh kepada karya yang menguntungkan, berbaloi dengan usaha pengarang siang dan malam bertarung dengan kesepian dan rasa gundah gulana, jadi pulangan mestilah bernilai. Beliau juga menyarankan agar, kalau mahu menjadi penulis mestilah mempunyai karya dalam bentuk buku. Kalau tidak, maknanya yang menggelar dirinya penulis masih gagal.
Hari kedua iaitu 06 Disember 2009, sesi pembentangan ketiga di pengerusikan oleh Saudara Rashid Subet selaku Pegawai Projek Perkampungan Pengarang Sarawak tahun ini. 3 kertas kerja yang menjadi tumpuan iaitu “1 Malaysia Persepktif Sastera Nasional: Realit dan cabaran oleh Dr. Awg Azaman Awg. Pawi. Kertas kerja ini menekankan soal-soal perpaduan yang patut diangkat dalam karya sastera sambil menggunakan situasi di Sarawak yang mengandungi lebih 60 etnik suku, tetapi masih aman damai dan tiada rusuhan kaum. Lalu diikuti oleh Saudara Dahiri Saini, Penerima Karyawan Harapan Sarawak 1996 dengan tajuknya “Menulis Sastera Popular: Pengalaman dan Prospeks”. Perkongsian dalam kertas ini lebih kepada usaha berbaloi apabila menghasilkan karya populis ini. Cetakan buku boleh mencapai sehingga beberapa kali yang akan menjadikan pengarang meningkatkan status ekonominya. Kemudian kertas kerja terakhir disampaikan oelh Saudara Poul Nanggang, Ketua II PUTERA dengan tajuknya,”Membangunkan Generasi Penulis Baru: Perancangan Dan Pelaksanaan”. Kertas kerja ini memfokuskan agar pembinaan penulis muda itu harus dibuat berterusan, ada dana, ada sinergi antara badan kerajaan dan persatuan penulis. Juga keyakinan pengarang berkarya itu mestilah ada pandangan masa depan, keberanian untuk menonjol dan berkarya serta kebertindakan yang pantas, cepat dan berkesan. Penulis harus mempunyai cita-cita sendiri, terpulanglah kepada visi dan misi masing-masing sesuai dengan pegangan kita. Tetapi, kertas kerja ini lebih mengarahkan kejayaan berkarya itu sebagai sebuah doumentasi rakaman tamadun bangsa yang mahal nilainya pada masa dakan datang.
Seterusnya acara disambungkan dengan rumusan dan resolusi dari Perkampungan Pengarang Sarawak 2009 ini yang disampaikan oleh Pengarah Perkampungan Pengarang Sarawak 2009, Saudara Abang Patdeli Abang Muhi sambil menyatakan akan adanya bentuk penambahbaikan daripada saranan-saranan dan gagagsan-gagasan yang diutarakan. Acara tamat sekitar jam satu tenga hari. Apa yang menariknya dalam acara Perkampungan Pengarang Sarawak kali ini ada semacam peningkatan aspek perjalanan acara, intipati pengisian dan sesi soal jawab yang menjadi sedikit hangat dengan kepelbagaian acara melihat dan berkongsi gagasan yang ada. Mungkin bukanlah perkampungan pengarang terbaik di Sarawak pernah diadakan, tetapi adalah antara yang cukup menarik hati diperkatakan. Soal-soal kelemahan itu adalah lumrah biasa dalam kita membuat acara besar sebegini, tetapi harus ingat itu bukanlah halangan, tembok atau dinding tebal yang menghadang apa jua kebermaknaan perkampungan ini kepada warga pengarang bumi kenyalang. Apa lagi dalam suasana ekonomi yang sedikit cedera walupun tidak parah, penyediaannya kali ini sesuatu yang ditunggu dan cukup bermakna. Selain itu menampakkan kewujudan sinergi antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak dengan Persatuan Penulis Utara Sarawak(PUTERA) dalam merealisasikan program ini untuk warga karyawan, penuli,pengarang, pencinta sastera budaya, pendukung bahasa dan kesusasteraan sama-sama duduk untuk melihat khazanah bangsanya berkembang maju dan dijaga, disemai, dibajai dalam taman permainan sastera atau kata-kata yang maha luas ini. Sekalung penghargaan rasanya kepada Panitia Perkampungan Pengarang Sarawak yang menyediakan wadah untuk kita sama-sama manfaati. Usaha luhur ini seharus dapat diberikan kesinambungan pada masa-masa akan datang demi sastera, bahasa, budaya dan khazanah kita bersama. Bangsa yang agung adalah lahir dari karya sastera yang agung umpama sebutir pasir yang akan melahirkan sebuah cakerawala indah cantik berwarna warni selain usaha gigih dan berterusan memartabatkan dan menjulang sastera kita – kalau dikatakan masih di takuk lama atau tiada pencapaian yang dibanggakan.

Saturday, October 17, 2009

GERAKAN PEMBANGUNAN SASTERA KEBANGSAAN

Pada minggu lepas iaitu 09 Oktober 2009, saya berkesempatan mewawancara bersama Jaya Ramba dalam program "Sembang Sastera" di Miri FM dengan Prof. Dr. Sahlan Mohd Saman seorang tokoh sastera yang hebat di Nusantara. Pernah menjadi tenaga kuat dalam GAPENA dan merupakan mantan Ketua I PPS. Kini menjadi professor di Universiti Brunei Darussalam sejak 2007 yang lalu.35 tahun lebih berkhidmat di UKM, Bangi, selain menjadi panel penilaian hadiah sastera dan menyumbang bengkel dalam MASTERA serta pelbagai kegiatan sastera di Nusantara.
Dalam bicara yang terasa ringkas itu, saya sempat menyoal tentang sastera harus mulai berakar di peringkat rendah lagi. Ini terjadi kerana situasi masa kini melihat sastera sebagai "subjek" untuk orang bodoh sahaja. Sedangkan sastera itu adalah soal kemanusiaan sejagat. SMS(Shalan Mohd Saman) menyatakan bahawa ada manusia yang tidak ada jati diri dalam mengangkat bahasa dan sastera bangsa. Sastera yang diajar dalam Bahasa Melayu setakat ini tidak mampu menggoncang minda manusia mungkin strategi pengajaran-pembelajarannya kurang efisien. Kini manusia lebih kepada mahu lulus ujian semata-mata. Kita sudah ada PURNAMA yang menjadi bahagian dalam DBP sebagai fakulti sastera kanak-kanak. Tetapi malangnya di peringkat Kementerian Pelajaran masih lagi ditakuk lama. Tanpa mengatakan bahawa kita mahu golongan pendesak, sastera di peringkat sekolah rendah itu patutlah dinilai semula dan berlakunya anjakan paradigma.
Dalam pada itu persatuan penulis haruslah melahirkan ramai penulis muda dan pelapis karyawan tanah air. Bengkel-bengkel penulisan harus berkembang untuk meneruskan kesinambungan berkarya dan memupuk budaya cintakan bahasa sastera bangsa. Dalam pada itu, dana perlulah diagihkan oleh mana-mana pihak yang berwajib. Menurut SMS, keluasan bumi Sarawak ini tidaklah patut disamakan agihan bajetnya seperti Negeri Melaka. Kalau Melaka ada 3 buah persatuan penulis, tetapi Sarawak hanya ada 2 buah sahaja yang bernaung dengan GAPENA. Usaha yang betul-betul serius harus dilaksanakan. Selain itu hasil karya peserta dalam mana-mana bengkel ini haruslah dibukukan dalam apa jua keadaan. Supaya minta dan keseriusan berkarya itu akan subur berkembang dalam diri peserta yang bakal menjadi penulis yang ternama kepada sastera bangsa kita suatu hari nanti.
Mengenai "Hadiah Nobel" dalam sastera Melayu, menurut SMS masih jauh. Kalau penulis kita tidak mahu menentang arus maka usaha ke arah ini tidak mungkin tercapai. Kita belum mampu ke arah itu lagi, kerana kita tidak mempunyai kuasa pemilihan yang kukuh. Oleh itu kita harus mendapat penajaaan lebih banyak dalam haduah sastera seperti SEA Write Award yang dianugerahkan kerajaan Thai. Wang itu tidak penting, tetapi nilai sastera yang dipelihara itu amat dihargai.Selain MASTERA, wujudkan lagi di peringkat ASEAN dan Nusantara hadiah-hadiah yang berprestij. Ini akan mendedahkan kesuasteraan Melayu dengan dunia luar.
Bercakap tentang persepsi penulis muda dan penulis veteran SMS menyatakan bahawa,sepatutnya wujud hubungan saling memerlukan. Yang muda menghormati yang tua dan yang tua memimpin yang muda termasuk dalam gerakan persatuan penulis. Lantaran kalau hanya golongan tua sahaja yang diberikan keutamaan, maka golongan muda akan banyak kehilangan pengalaman dan peluang yang harus mereka miliki tapi disa-siakan begitu sahaja.Kita patut memikirkan masa depan sastera bangsa dan perkembangan di masa akan datang, bukan soal "kita berasakan diri kita serba hebat dan ilmu yang lengkap".
Memperkatakan penulis Sarawak sendiri, SMS menyatakan bahawa perlu adanya gerakan pembangunan sastera oleh pihak yang berkuasa seperti bajet, tenaga penggerak dan penggempur. Bidang ini tidak harus dilupakan begitu sahaja walaupun niat kita ingin memacu dunia ICT sehingga menakluki angkasa lepas, tetapi kemanusiaan itu harus juga dimartabatkan. Sarawak yang luas ini mempunyai ramai karyawan dan mempunyai latar belakang budaya dan sosio yang menarik. Di samping penuh dengan eksotik budaya yang historis antara penarik utama dalam karya yang dipaparkan. Latar etnik atau kaum ini menampakkan kita warga Malaysia lebih memahami konsep 1 Malaysia yang digegarkan oleh YAB Perdana Menteri.Bantuan dana perlu menyemarakan gerakan kesusasteraan Melayu di bumi Kenyalang ini, biarpun wang bukanlah faktor segala-galanya tetapi tetap utama. Keprihatina pemimpin juga harus diambil kira sebagai pendokong utama selain tokoh-tokoh yang telah mantap berkarya dan dikenali di pelosok bumi ini. Kerja ini tidak boleh dibuat main-main, tetapi ada tanggungjawab sendiri.
Pada akhirnya, SMS menyarankan gerakan pembangunan sastera ini perlu diutamakan bukan sahaja oleh pemerintah, tetapi lebih merancakkan, memfokuskan dan menyebarluaskan gerakan kebahasaan, kesusateraan, kebudayaan kebangsaan dalam persatuan penulis seeprti GAPENA, DBP dan lain-lain institusi pengajian tinggi atau yang sehubungannya dengannya, janganlah kita melihat sastera itu semata-mata untuk "pen merah" sahaja dan tiada nilai komersilnya.Sastera itu tetap relevan sepanjang zaman.

Tuesday, September 8, 2009

SUASANA ROH KEMERDEKAAN MALAYSIA DICEMARI

Beberapa hari yang lalu pihak akhbar Malaysia khasnya Utusan Melayu dan malam semalam(08 Ogos) TV1 menyiarkan mengenai provakasi pihak Indonesia mengenai Hari Kemerdekaan bangsa Malaysia dicemari insiden membakar bendera Malaysia, Jalur Gemilang dibakar dalam tunjuk perasaan dan juga kedutaan Malaysia di Jakarta dilontar dengan batu. Orang Malaysia melihat ini semacam biasa sahaja, tetapi apa yang diutarakan oleh media kita memang cukup merimaskan. Banyak kali Malaysia di provaksi begitu, tetapi rasa kali ini kedua yang hebat selepas rejim Soekarno mahu "Ganyang Malaysia" pada 1963.
Ini adalah kerana soal-soal diplomatik yang melibatkan rakyat Indonesia yang menjadi pembantu rumah yang didera oleh warga Malaysia, kemudian soal lagu, tarian yang dianggap milik mutlak Indonesia kononnya dirampas, soal Ligatan dan Sipadan yang berjaya Malaysia miliki di Mahkamah Bebas Antarabangsa, soal ketua pengganas yang menaja rakyat Indonesia diketuai oleh orang Malaysia, Ambalat dan macam-macam isu yang menyebabkan Indonesia mahu mengganas Malayia. Tapi saya tabik dengan YAB Perdana Menteri Malaysia, yang masih menghantar takziah kepada korban musibah di Tasikmalaya, Indonesia. Betapa pemerintah Malaysia menjaga ketertiba hubungan keluarga kedua-dua negara.
Indonesia dibawah SBY sepatutnya lebih matang menangani masalah politik antarabangsa khasnya jiran sebudaya iaitu Malaysia. Pihak media tidak patut menyemarakkan api permusuhan yang membara. Hakikatnya kita saudara serumpun. Memang ada kekurangan di pihak Malaysia, tetapi itu bukan suara seluruh warga bangsa Malaysia. Kalau dilihat pun, ratusan ribu warga Indonesia dan asing mencari nafkah di bumi makmur Malaysia dengan sejahtera.Mereka membawa kekayaan ke negara mereka, tidak pun orang Malaysia memprotes atau menrombak apa lagi mencuri segala titik keringat mereka di bumi bertuah ini. Sedang rakyat Malaysia sendiri dicukai oleh pemerintah, orang asing bebas sahaja kebas dan kaut mana peluang yang ada, selagi mengikut peraturan negara ini. Kita masih ingat bahawa, mantan PM kita, Tun Mahadtir Mohammad pernah berkata, kita mahukan jiran kita bahagia dan tidak mengganggu kita setiap hari, maka kita bagi kemakmuran kepada mereka dengan peluang dan ruang kepada sesiapa yang berani membuat keputusan, apa lagi dalam suasana ekonomi yang meruncing. Kita bukanlah mahu menyatakan kehebatan kita dan kemurahan kita, tetapi atas nama kemanusiaan, kita rela semua ini kita kongsikan bersama di bumi Tuhan dengan cara yang betul dan memakmurkan warga Malaysia serta memberi nafas kehidupan kepada warga asing. Memanglah ada kes sana-sini, kerana ramai orang banyaklah fiilnya. Kita kena gunakan undang-undang dan peraturan. Soal budaya, itu semacam kita telah ada dari satu rumpun yang sama, tiada siapa yang mencuri hak siapa. Rasanya kita harus realisitik soal ini. Kalau begitu susahlah hidup 2 bangsa serumpun ini, contohnya hidangan nasi lalapan itu popular di Malaysia dan banyak pengusaha membuka bisnes ini, adakah juga Malaysia dianggap mencuri makanan orang Indonesia. Soal-soal diplomatik biarlah pemimpin negara menanganinya, kalau kita semua mahu masuk campur, maka rosaklah keharmonian dan jambatan muhhiah yang kita bina sekian lama.
Sarjana dan ahli akademik kita mulai menyuarakan pandangan mereka akan hal ini. Apakah relevannya hal ini diungkapkan waktu ini? Adakah Indonesia sengaja mahu menunjuk-nunjuk bahawa mereka hebat daripada orang Malaysia? Lebih terguris lagi hati kita bangsa Malaysia, hal ini dilakukan waktu kita merayakan kemerdekaan bangsa kita ke-52. Kita memang tersinggung dengan hal ini sama ada disuarakan ada tidak, tetapi semangat patriotik kita tetap ada dan menyala saat ini. Adakah ini cubaan melihat respon kepada Indonesia betapa orang Malaysia peka akan kemerdekaan bangsa dan negaranya? Mungkin ada udang sebalik batu. Kita tidak prejudis, tetapi sekali sebagai bangsa merdeka, tidak moleklah hal ini dilakukan kepada bangsa kita. Masih ada, jalan lain, alternatif atan cara untuk kita menghantar mesej dengan lebih terhormat. Ini bukanlah cara yang diajar dalam budaya timur kita yang tulus dan sopan.
Kalau dalam bidang sastera, lalu lintas buku lebih menguntungkan Indonesia begitu filem dan yang lain. Buku-buku Malaysia tidak dibenarkan masuk ke Indonesia, sedangkan buku Indonesia bebas sahaja ke Malaysia tanpa sekatan.Walaupun kita dianggap 2 negara sahabat, tetapi Malaysia banyak mengalah kepada saudara sulungnya dalam banyak hal. Sampai bilakah hal ini terjadi? Banyak orang mengatakan ini isu terpencil dan nakal sahaja, tetapi kalau sampai membakar dan mencemari kedutaan kita, maknanya Malaysia itu tidak diterima oleh Indonesia, walaupun selama ini kita banyak membantu mereka, juga dalam hal yang lain kita dibantu. Kesedaran itu tidak ada mungkin pada mereka. Apakah tidak ada cara lain bagi menyatakan protes itu kepada Malaysia selain membakar kedaulatan bangsa Malaysia dan maruah bangsa merdeka ini? Selama manakah kita akan duduk diam dan masih mengganggap abang sulung boleh buat apa sahaja kepada adiknya? Kalau ia mengganggap kita ini adik, mungkin kita ini seteru yang mahu dihapuskan.
Saya begitu rimas juga dengan pendekatan orang-orang tertentu di Indonesia. Yang anehnya pemimpin tidakpun campur tangan meredakan situasi gawat ini. Sepatutnya, golongan intelektual mengawal keadaan ini supaya tidak panas dan memudaratkan kedua-dua bangsa. Bagi saya dalam soal ini tiada siapa yang menang, yang akan menanggung sengsara dan lara yang panjang adalah rakyat kecil, menag jadi arang kalah akan jadi debu kalau mahu meneruskan sengketa ini berpanjangan.Memang tidak dapat dinafikan, ada ruang-ruang kita berbeza idea tetapi bukanlah itu yang harus kita manipulasi untuk membuka ruang panas sengketa. Pada saat ini sepatutnya warga Malaysia menerima penghargaan dan ucapan tahniah dari seluruh sahabatnya ketika menyambut usia negara ke-52, bukanlah cacian, makian dan kebencian yang menyakitkan jiwa merdeka warga Malaysia. Kita gunakan kebijaksanaan kita untuk membangun kemanusiaan bukan mahu mruntuhkan kemanusiaan dan menjadikan kita manusia zaman batu yang menindas sesamanya dengan polisi siapa kuat dia akan menakluki yang lemah. Tidak... ajaran agama kita telah mengajar kita. Junjunglah harga kemanusiaan itu setingginya kepada semua warga Malaysia. Jiwa kemerdekaan kita walaupun ada orag yang mencemarinya terang-terangan. Siapkan menatl dan jiwa kita kalau mahu meneruskan perjuangan memerdekan bangsa dan negara. Jangan sudah terantuk barulah tegadah. Masih belum terlambat. Jawapan nya ada pada kita warga bangsa Malaysia.

Saturday, September 5, 2009

MENULIS UNTUK KHAZANAH BANGSA: MASA DEPAN GENERASI AKAN DATANG

29 Ogos 2009, saya ditelefon beberapa teman penulis bahawa Utusan Sarawak dalam rencana oleh wartawannya menyiarkan nama saya diantara penulis prolifik di persada penulisan. Peristiwa itu 2 hari lagi kita menyambut Hari Kemerdekaan negara ke -52. Suatu yang membanggakan juga merimaskan saya. Apapun, terima kasih kepada penulis Utusan Sarawak di atas tulisan itu yang memberikan saya kayu ukur dalam berkarya. Rimas,takut karya saya tidak diterima lagi dan terlalu buruk. Apapun kedua-dua kemungkinan saya hadapi dengan berkarya. Sesuai dalam gamat alunan kemerdekaan bangsa yang masih segar.
Saya tidak telan bulat -bulat tulisan itu dengan riak. Saya memperhalusinya daripada beberapa lensa sudut padang. Mungkinkah itu suatu kejujuran sastera dan berkarya atau hanya momokan sahaja. Jujur saya katakan, saya tidak pasti siapa yang menulis. Jadi saya tidak mahu menyebut nama sebarangan sahaja, walaupun mungkin saya tahu. Seingatnya saya, jenis karyawan seperti saya hanya berkarya, agak jarang kalaupun tidak pernah saya memuji karya sendiri. Mungkin bincang begitu sahaja adalah. Bagi saya biar orang lain membuat penilaian. Apapun yang diperkatakan saya terima seadanya, baik pujian atau cercaan. Begitu juga tulisan ini. Sekitar 5-7 tahun yang lalu, ada orang mengatakan saya tidak layak, tidak harus ada pada posisi begini begitu. Mulanya saya geram juga, tetapi saya belajar erti sabar dan mematangkan diri. Peduli dengan orang kata, yang penting kita lakukan yang betul. Dalam dunia memang banyak adatnya, cemburu, iri hati, dengki, fitnah, tidak senang lihat orang senang dan bermacam-macam fiil. Itu lumrah fenomena manusia dalam dunia sejak zaman Adam dan Hawa, sejak tamadun Rom dan Cina lagi. Soal itu adalah sebahagian warna-warni kehidupan manusia dan sastera itu sendiri.
Kali ini pun, saya menerima semacam isyarat bahawa saya tidak terlalu bangga diri dan teruja amat sangat,lantaran bukan Poul Nanggang sahaja yang ada bakat dan usaha menulis. Banyak lagi karyawan lain. Biasalah, bila kita ke hadapan sedikit, orang akan tanya dan persoalankan macam-macam. Bagi saya kita semua bertarung dalam arena yang hebat, sesiapa yang muncul tidak semestinya terbaik, tetapi "baik" itu mestilah ada. Saya tidak mengaku saya terhebat, mungkin orang lain lebih lagi.Tapi saya tahu apa yang saya usahakan. Saya mengkagumi juga Jong Chian Lai, Abizai, Awangku Merali Pengiran Mohammad, Jaya Ramba, Jaafar Hamdan, Dahiri Saini, Rosnani Hiplee, Abang Median Abang Said, Apam (sekadar menyenaraikan beberapa nama) dan lain-lain lagi. Mereka juga hebat dan turut sama mewarnai kanvas kesusasteraan Melayu di bumi penuh historis ini. Tidaklah kiralah apa penerbitan pun, Dewan Sastera, Berita Minggu, Minggan Malaysia, pelbagai wadah DBP Sarawak atau apa sahaja yang boleh menampng suasana berkarya kita. Yang penting karyawan itu menulis. Jangan kita menyatakan penulis tetapi tidak berkarya.... itu suatu sindrom yang harus dimusnahkan, tanpa kompromi. Kalau bunyinya keras, maafkan saya.
Bagi saya hanya terus berkarya. Maafkan saya kalau ada sikap saya mengada-ngada yang nampak. Saya cuba hindari hal itu. Kalau diizinkan rezeki saya oleh Sang Dewata Raya, maka sebelum penghujung 2009 ini harapan saya akan terbit novel pertama saya dan kumpulan puisi kedua hasil karya yang saya usahakan.Mudah-mudahan ia suatu kesinambungan berkarya saya dalam persada sastera tanah air. Orang boleh nilai saya macam-macam, tapi saya tetap figura yang tersendiri.Setakat itu sahaja, salam sastera.

Friday, September 4, 2009

DISKUSI KARYA SARAWAK

11 Ogos 2009, saya sempat memperkata kumpulan puisi "Bingkai Waktu" dengan kertas kerja pada Majlis Diskusi Buku oleh DBP Kuala Lumpur. Kebetulan karya itu ditulis oleh mantan Ketua I PUTERA iaitu Saudara Pharo Abd Hakim. Saya cuba menerapka teori resepsi sastera dalam latar hujah saya membicarakan beberapa karya dari kumpulan puisi ini.
Tentunya saya berasa teruja dan bangga sekali diberikan kesempatan yang besar ini bagi menyatakan pendirian dan komen saya mengenai karya salah seorang penulis Sarawak. Di samping tanggungjawab dan peranan penting memperkenalkan karya dan penulis, saya tidak lupa akan tugas kita memartabatkan sastera tidak kira di mana kita kalau ada ruang dan peluang, gunakan dengan kebijaksanaan yang penuh perhatian. Saya berasa sudah menjalankan peranan saya. Sama ada berjaya atau sebaliknya itu adalah hak audiens dan pencinta budaya kita.
Saya tidaklah layak untuk memuji saya. Sedikit persoalan yang dibuat dalam diskusi itu tentang mungkin definis dan takrif teori yang cuba diminta penjelasan oleh salah seorang peserta. Jawapan saya tetap sama bahawa saya menggunakan teori resepsi sebagai jurus pandang dalam memperkatakan karya Pharo Hakim. Selain itu saya tertatik cara kertas kerja diolah dan dipakej oleh Urus Setia yang diketuai oleh Saudara Jusoh Majib yang begitu berinovatif melaksana tugas beliau,Sda Mohammad Daud Mohammad, Ketua Bahagian Teori & Kritikan Sastera Malaysia dari DBP KL, IPM Kampus Cawangan Sarawak, Batu Lintang dan semua teman-teman karyawan yang hadir serta para peserta yang dedikasi.

Saturday, January 24, 2009

REFLEKSI SIMPOSIUM PENULIS PELBAGAI KAUM 2009

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih di atas jemputan PEKASA & DBP untuk hadir dalam majlis ini pada penghujung 2008 lalu.Apa yang ingin saya katakan di sini, adalah kurang baik kalau dikatakan saya seolah-olah semacam pemberontak sastera dalam mempertahankan istilah penulis pelbagai kaum. Bagi saya skopnya bukan bercakap soal sastera pelbagai kaum, sasteranya tetap sama iaitu sastera Melayu atau kebangsaan. Akan tetapi, pengkaryaan kumpulan atau kotak penulis pelbagai itu mungkin yang dilihat dalam simposium yang masuk edisi ke-9 - satu penilaian bagi karya-karya mereka.Lantaran ruang ini telah diberikan, apapun latar menyebabkan fenomena ini timbul seperti ras, etnik, kaum, budaya, agama dan politik yang menyebabkan situasi ini menjangkau 9 edisi pertemuan. Itulah adalah lebih afdal. Terus terang, bukanlah tujuan saya memecahkan sastera Melayu kepada genre-genre lain, awal-awal lagi saya katakan kita[penulis] dikotak-kotakkan. Tapi ada seorang rakan menjawab, kita keluarlah dari kotak itu.Bagaimana mahu keuar? Simpoium ini sudah 9 kali kali sejak 1998 diadakan di Miri oleh PUTERA, GAPENA dan DBP. Adakan itu langkah bijaksana? Lantaran itu mungkin saya turut sama bersuara, setelah bergelut dalam suasana ini sejak 11 tahun lalu.Kalau mahupenilaian semula, sila lakukan?
Kalau dikatakan bahawa, penulis pelbagai kaum seperti saya dan yang lain-lain lagi dapat layanan keistimewaan dari "kata-kata yang tersurat", saya dengan lantang menegaskan, bahawa para penulis dari Sabah & Sarawak, dalam kotak ini tiada apa-apa yang kami terima untuk dianggap sebagai kelebihan khasnya soal berkarya. Kita bukannya merampas sastera kebangsaan untuk berkarya.Kita masih berkarya seperti manusia penulis lain dalam sastera kebangsaan ada kalanya diterima dan banyak kali karya ditolak. Fahamlah, kita bukan manusia sempurna, penilainya membuat jawaban tentang hal ini. Dari aspek dagang, ekonomi seperti penerbitan sastera, publisitinya mungkin ada pertubuhan lain yang lebih beruntung daripada kami. Setakat ini, tiada pun kumpulan karya penulis pelbagai kaum diterbitkan hasil ini pertemuan ini secara tuntas dan jelas, kecuali untuk antologi pemenang sayembara.
Bagi saya kalau ada karyawan tidak senang dengan tujuan awal itu, tidak mengapa untuk berpolemik.Sekali lagi saya jelaskan, bahawa pertemuan kita pada hari itu adalah bajetnya, dan program daripada gagasan "kepelbagaian"itu sendiri. Kalau tidak menerima hakikat itu, tidak apa. Soal karya penulis pelbagai kaum yang dinyatakan hanya bermutu yang menjurus warna tempatan[lokal] atau suasana tempat yang ada kaitan dengan budaya, bagi saya terpulang kepada siapa yang menilainya. Penulis hanya berkarya, tanpa pagar sastera, halangan birokrasi sastera.Apapun ini semua warna-warni menceriakan sastera kita, biar kita berfikir dan membuat perspektif kendiri.Jawaban kita sendiri tahu. Kita ada kebijaksanaan terpulanglah kepada kita membuat perkiraan. Bagi saya, adalah lebih molek menghayati kata-kata Saudara Jiso Rutan, Pengarah DPB Cawangan Sarawak, yang penting adalah hasilkan karya dan berjaya diterbitkan. Jangan terlalu banyak berfikir soal-soal lain, bukanlah bermakna menutup kreativiti, lebih tumpuan kepada berkarya menulis. Semoga dapat melahirkan adi karya kepada semua teman karyawan. Selamat berkarya dan bersastera. Terima kasih.

Sunday, January 18, 2009

SALAM SASTERA

2009, SEMOGA MENJADI SEMANGAT SASTERA KITA MELEDAK. BIAR APAPUN CABARANNYA. JIWA MESTI BERANI, HATI MESTI TABAH. KALAU TAKUT DILAMBUNG OMBAK JANGAN BERUMAH DI TEPI PANTAI. OLEH ITU SEBAGAI MANUSIA KITA DIBERIKAN AKAL DAN KEBIJAKSANAAN KREATIF UNTUK MENANJAK MAJU BUKAN PULA MEMUDARATKAN SUASANA KITA BERKARYA DAN BERSASTERA. KADANG-KADANG SALAH BOLEH JADI BENAR, DAN ADA JUGA WAKTU SALAH TETAP SALAH. SASTERA ITU SENDIRI MENGHADIRKAN KEPELBAGAIAN KEMUNGKINAN, SUKAR DIDUGA SUKAR DIRAMAL. OLEH SELAMAT UNTUK SEMUA. SALAM SASTERA DARI PN.