PRAWACANA KEPADA PENGARANG DI PERKAMPUNGAN SARAWAK

PRAWACANA KEPADA PENGARANG DI PERKAMPUNGAN SARAWAK
Sedikit kata-kata aluan kepada rakan pengarang dalam acara Perkampungan Pengarang Sarawak 2009 bersama Pegawai Projek dari DBP Sarawak, Encik Rashid Subet dan Setiausaha II PUTERA.

SARAWAK TIADA IKON SASTERA DALAM 5 TAHUN MENDATANG?

SARAWAK TIADA IKON SASTERA DALAM 5 TAHUN MENDATANG?
Ada kesungguhan bukan retorik semata-mata

Monday, December 7, 2009

PERKAMPUNGAN PENGARANG SARAWAK 2009

PERKAMPUNGAN PENGARANG SARAWAK 2009: 5 TAHUN MENDATANG, TIADA APA YANG DIBANGGAKAN DENGAN KARYA PENGARANGAN SARAWAK MASIH KABUR & BERJEREBU.
Oleh
Poul Nanggang
Pada 05-06 Disember 2009 mencatakan sejarah sekali lagi di Bumi Kenyalang, apabila PUTERA dan DBP telah berjaya menyempurnakan acara gah yang sering dijadikan acara tahunan sastera di Sarawak iaitu Perkampungan Pengarang Sarawak 2009. Sekitar 100 orang karyawan dari pelbagai ceruk wilayah Sarawak mengikuti program ini. Selain itu terdapat teman-teman dari Brunei, Sabah dan Semenanjung Malaysia ikut serta dalam merancakkan suasana kepengarangan di Sarawak . Tema perkampungan kali ini dipilih oleh panitia ialah “Memanifestasikan Kesatuan dalam kepelbagaian lewat persuratan kebangsaan”.
Dalam ucapan alu-aluan Pengarah DBP Sarawak, Encik Jiso Rutan mengharapkan perkampungan ini akan membawa kesan dan impak kepada kepengarangan karyawan bumi kenyalang ini. Usaha memasyarakat sastera terus kita kembangkan kerana kewujudan DBP itu sendiri adalah atas aspirasi dan cita-cita masyarakat untuk mengangkat, mendaulat bahasa dan sastera kebangsaan kita. Terdapat 9 kertas kerja yang menjadi inti perbincangan dalam perkampungan ini. Salah satunya menjadi bahan ucaptama dalam acara ini yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, Ahli Lembaga DBP dan juga Sasterawan Negeri Sarawak dengan judulnya, “Masa Depan Kesusasteraan Di Sarawak”. Dalam ucap tama ini terdapat pelbagai kemungkinan dan cabaran yang akan dihadapi oleh para pengarang Bumi Kenyalang ini. Beliau nampak optimis bahawa ada peluang dan ruang dalam suasana berkarya di Sarawak sekarang biarpun banyak halangan dan kekangan yang menjadi ranjau di hadapan.
Kertas kerja pertama yang dibentangkan oleh Drs. Mohammad Daud Mohammad, Ketua Bahagian Teori & Kritikan Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur pula menyampaikan kertas kerja bertajuk, “Persepktif Bangsa Dalam Lanskap Sastera”. Beliau menyatakan dalam kertasnya bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan peranan manusia untuk mendaulatkan posisi diri sebagai manusia genius untuk menulis hal-hal yang menjadi sejarah dan catatan penting bangsa. Selain menonjolkan aspek estetika, soal warna-warni budaya dan segala persoalan manusia juga terangkum. Kemudian diikuti oleh Dr Nur Afifah Vanitha Abdullah dengan tajuk “Pengaruh Kontekstual Terhadap Kelahiran Teks dan Kaedah Lakonan Bangsawan Tahun 1980-an di Sarawak”. Kertas ini memberikan fokus utama bangsawan yang masih menjadi tradisi di Sarawak dalam suasana ICT kini. Lalu kertas ketiga disampaikan oleh Hj Santrol Abdullah dengan tajuknya, “Penerapan Unsur-Unsur BudayaTempatan Dalam Karya Sastera”. Hal ini cukup menarik kerana kita selalu membicangkan disiplin “studi budaya” sebagai salah satu kaedah mengkaji persoalan masa kini dalam pelbagai kajian. Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya tentunya merupakan lubuk yang luas dan dalam yang kaya dengan nilai budaya manusianya yang ada. Hal ini dimanfaatkan dalam suasana berkarya supaya hal semacam ini menjadi “nilai tambah” yang meluaskan sudut-sudut kajian dalam masyarakat dan sastera bangsa. Ketiga-tiga kertas kerja digabungkan dalam sesi pembentangan pertama dan dipengerusikan oleh Saudara Abang Median Abang Said dari PUTERA(Persauan Penulis Utara Sarawak).
Pada sebelah petang acara diteruskan dengan sesi pembentangan kedua yang menyediakan 2 buah kertas kerja yang cukup menarik.Dipengerusikan oleh Saudara Abang Patdeli Abang Muhi, Timbalan Pengarah DBP Sarawak merangkap Pengarah Perkampungan Pengarang Sarawak 2009. Pertama, “Memperkasa Keberhasilan Karya Sastera: Pengalaman Meneliti Karya Penulis Sarawak” oleh Prof Dr. Shahlan Mohd Saman, dari UBD. Tulisan ini cukup berterus terang dan berani. Antara lain kenyataan yang disampaikan dalam kertas ini ialah “ketiadaan dan kekaburan bahawa dalam tempoh 5 tahun mendatang, tiada nampak karya atau pengarang Sarawak yang dianggap berjaya berbanding dengan pencapaian pengarang dari Negeri Sabah Di Bawah Bayu” di pelbagai peringkat yang ada. Memang pedih dan sedih untuk diterima. Tetapi adalah lebih kita teriam hakikat yang pahit daripada dihiasi dengan kata-kata manis yang membawa trajedis kepada sastera kebangsan di bumi kenyalang yang terbilang dan penuh historis ini. Kenyataan ada pro dan kontranya tersendiri, tetapi cetusan itu bukanlah dengan niat berbau penghinaan atau memandang rendah kepengarangan karyawan di Bumi Kenyalang, itu harus ditanggapi dan dilihat dengan mata hati yang jujur, ikhlas dan dan telus kalaupun kita berpolemik tentang hal itu. Ini bukan dinilai pencapaian dalam pelbagai anugerah dan sayembara penulisan sastera di Malaysia. Para pengarang Sarawak banyak tercicir daripada teman-teman dari Sabah apa lagi Tanah Semenanjung. Berapakah sahaja penerima “Anugerah Sastera Perdana Malaysia” sejak 1971 hingga kini dari Sarawak? Sabah mengatasi kita dari aspek bilangan.Pencapaian dinilai dari aspek angka-angka, orang suka melihat ini. Lain-lain anugerah sastera seperti Anugerah Sastera Utusan Melayu, GAPENA, MASTERA atau lainnya. Penerima SEA WriterAward dari Thailand itu Sabah dan Sarawak hanya berbangg seorang sahaja dari negri masing-masing berbanding Selangor yang ada 9 orang penerima SEA Writer Award dan seorang Sasterawan Negara. Itulah mungkin ukur tara dan aspek teknikal penilaian yang patut kita terima hakikat dan kenyataannya. Kita jangan mudah macam cacing kepanasan, mungkin ada hikmatnya dari semua ini. Tetapi kita tidak boleh diam, usahakan anjakan saujana dalam melibatkan program penulisan di Sarawak supaya tidak ketinggalan dari orang lain kalau dibuat perbandingan. Inilah kenyataan yang cukup berat diterima oleh para penulis di Sarawak. Sama ada kenyataan itu disampaikan secara provaksi atau sebaliknya, Prof Sahlan Mohd Saman yang terkenal dengan kewibawaan sebagai tokoh mengkaji sastera bandingan mempunyai penilaian yang tersendiri sehingga muncul dengan kalimat ini. Hakikatnya para penulis di Sarawak menerima kenyataan ini dalam suasana pukulan hebat mengetuk bukan sahaja kepala tetapi seluruh nyawa dan roh penulsi itu sendiri. Mungkin pengarang atau karyawan Sarawak sehingga 2016 perlu menunjukkan suatu pencapaian yang lebih membanggakan setelah mengalami zaman yang cukup trajedis dalam sastera kebangsaan di Bumi Kenyalang. Suka atau tidak suka hal ini harus kita terima dengan dada terbuka dan hati yang redha. Itu adalah tanggungjawab karyawan Sarawak untuk menanggapi apa yang dihujahkan oelh Prof Shahlan Mohd Saman dalam kertas kerja itu. Kemudian diikuti oleh Dr Jeniri Amir dengan tajuk kertas kerjanya, “Strategi Pemasaran Karya Sastera” yang mana membicarakan dengan pajang lebar dan jelas agar penulis melihat kembali arah tuju kepenulisannya. Saranan Dr Jeniri Amir lebh kepada karya yang menguntungkan, berbaloi dengan usaha pengarang siang dan malam bertarung dengan kesepian dan rasa gundah gulana, jadi pulangan mestilah bernilai. Beliau juga menyarankan agar, kalau mahu menjadi penulis mestilah mempunyai karya dalam bentuk buku. Kalau tidak, maknanya yang menggelar dirinya penulis masih gagal.
Hari kedua iaitu 06 Disember 2009, sesi pembentangan ketiga di pengerusikan oleh Saudara Rashid Subet selaku Pegawai Projek Perkampungan Pengarang Sarawak tahun ini. 3 kertas kerja yang menjadi tumpuan iaitu “1 Malaysia Persepktif Sastera Nasional: Realit dan cabaran oleh Dr. Awg Azaman Awg. Pawi. Kertas kerja ini menekankan soal-soal perpaduan yang patut diangkat dalam karya sastera sambil menggunakan situasi di Sarawak yang mengandungi lebih 60 etnik suku, tetapi masih aman damai dan tiada rusuhan kaum. Lalu diikuti oleh Saudara Dahiri Saini, Penerima Karyawan Harapan Sarawak 1996 dengan tajuknya “Menulis Sastera Popular: Pengalaman dan Prospeks”. Perkongsian dalam kertas ini lebih kepada usaha berbaloi apabila menghasilkan karya populis ini. Cetakan buku boleh mencapai sehingga beberapa kali yang akan menjadikan pengarang meningkatkan status ekonominya. Kemudian kertas kerja terakhir disampaikan oelh Saudara Poul Nanggang, Ketua II PUTERA dengan tajuknya,”Membangunkan Generasi Penulis Baru: Perancangan Dan Pelaksanaan”. Kertas kerja ini memfokuskan agar pembinaan penulis muda itu harus dibuat berterusan, ada dana, ada sinergi antara badan kerajaan dan persatuan penulis. Juga keyakinan pengarang berkarya itu mestilah ada pandangan masa depan, keberanian untuk menonjol dan berkarya serta kebertindakan yang pantas, cepat dan berkesan. Penulis harus mempunyai cita-cita sendiri, terpulanglah kepada visi dan misi masing-masing sesuai dengan pegangan kita. Tetapi, kertas kerja ini lebih mengarahkan kejayaan berkarya itu sebagai sebuah doumentasi rakaman tamadun bangsa yang mahal nilainya pada masa dakan datang.
Seterusnya acara disambungkan dengan rumusan dan resolusi dari Perkampungan Pengarang Sarawak 2009 ini yang disampaikan oleh Pengarah Perkampungan Pengarang Sarawak 2009, Saudara Abang Patdeli Abang Muhi sambil menyatakan akan adanya bentuk penambahbaikan daripada saranan-saranan dan gagagsan-gagasan yang diutarakan. Acara tamat sekitar jam satu tenga hari. Apa yang menariknya dalam acara Perkampungan Pengarang Sarawak kali ini ada semacam peningkatan aspek perjalanan acara, intipati pengisian dan sesi soal jawab yang menjadi sedikit hangat dengan kepelbagaian acara melihat dan berkongsi gagasan yang ada. Mungkin bukanlah perkampungan pengarang terbaik di Sarawak pernah diadakan, tetapi adalah antara yang cukup menarik hati diperkatakan. Soal-soal kelemahan itu adalah lumrah biasa dalam kita membuat acara besar sebegini, tetapi harus ingat itu bukanlah halangan, tembok atau dinding tebal yang menghadang apa jua kebermaknaan perkampungan ini kepada warga pengarang bumi kenyalang. Apa lagi dalam suasana ekonomi yang sedikit cedera walupun tidak parah, penyediaannya kali ini sesuatu yang ditunggu dan cukup bermakna. Selain itu menampakkan kewujudan sinergi antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak dengan Persatuan Penulis Utara Sarawak(PUTERA) dalam merealisasikan program ini untuk warga karyawan, penuli,pengarang, pencinta sastera budaya, pendukung bahasa dan kesusasteraan sama-sama duduk untuk melihat khazanah bangsanya berkembang maju dan dijaga, disemai, dibajai dalam taman permainan sastera atau kata-kata yang maha luas ini. Sekalung penghargaan rasanya kepada Panitia Perkampungan Pengarang Sarawak yang menyediakan wadah untuk kita sama-sama manfaati. Usaha luhur ini seharus dapat diberikan kesinambungan pada masa-masa akan datang demi sastera, bahasa, budaya dan khazanah kita bersama. Bangsa yang agung adalah lahir dari karya sastera yang agung umpama sebutir pasir yang akan melahirkan sebuah cakerawala indah cantik berwarna warni selain usaha gigih dan berterusan memartabatkan dan menjulang sastera kita – kalau dikatakan masih di takuk lama atau tiada pencapaian yang dibanggakan.